Skip to main content

Bola Sepak

Ranking Harimau Malaya lonjak tinggi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia.jpg
Kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka melonjak susulan kemenangan ke atas Laos dan seri menentang India dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 bulan ini.

Mengikut kiraan semasa tidak rasmi, Malaysia melonjak lima anak tangga daripada kedudukan 133 dunia ke kedudukan ke-128 dunia selepas dua perlawanan persahabatan tersebut.

Skuad negara mengumpul 2.97 mata selepas menewaskan Laos 3-1 di Bangkok Khamis lalu dan kemudian mengumpul tambahan 0.16 mata selepas seri 1-1 dengan India di Hyderabad, semalam.

Keputusan itu juga menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente buat masa ini telah berjaya memintas negara jiran, Indonesia, yang sebelum ini kehilangan 2.93 mata selepas tewas 0-4 kepada Jepun dalam aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Namun, Sang Garuda itu boleh kembali berada di atas Malaysia sekiranya seri atau menang menentang Arab Saudi dalam satu lagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia, malam ini.

Kemas kini seterusnya ranking FIFA akan dilakukan pada 28 November ini dengan kedudukan dan mata masih boleh berubah.

Kredit--Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video