LIGA INGGERIS
Rangnick pening senarai barisan terbaik
Ralf Rangnick berdepan beberapa "keputusan sukar" untuk dibuat ketika Manchester United menghadapi Newcastle United selepas mengesahkan bahawa semua anak buahnya kecuali seorang telah kembali berlatih.
Dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir United -- lawatan ke Brentford dan perlawanan di tempat sendiri menentang Brighton & Hove Albion -- ditangguhkan kerana penularan COVID-19 di kelab itu.
The Red Devils menghentikan operasi pasukan utama di venue latihan Carrington selama 24 jam, minggu lalu, tetapi pemain mula kembali secara berperingkat bermula Selasa lalu.
Iklan
Semua pemain kembali terlibat semalam kecuali tonggak tengah, Paul Pogba, yang tercedera menjelang lawatan ke St James' Park, Selasa depan.
Rangnick dalam sidang akhbar pra-perlawanan itu menjangkakan mempunyai hampir skuad kekuatan penuh untuk dipilih ketika menentang Newcastle, ini bermakna khidmat Raphael Varane boleh diketengahkan selepas dua bulan berehat berikutan kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika tugasan antarabangsa.
"Kami menutup tempat latihan selama empat hari untuk memutuskan rantaian pandemik. Ketika itu kami mempunyai lapan pemain senior sahaja selain tiga penjaga gol," kata Rangnick.

"Setakat hari ini, kami dapat berlatih selama tiga hari sepanjang minggu ini. Kami bermula Selasa lalu, kemudian semalam dan hari ini. Kami mempunyai pilihan 25 pemain untuk diturunkan selain Pogba.
"Setiap pemain lain bersatu padu. Perkembangan minggu lalu sangat positif.
"Setakat yang saya dapat lihat dalam latihan hari ini, mereka semua dalam keadaan baik dan semua pemain melakukan kerja rumah mereka. Masing-masing mempunyai jadual tersendiri untuk berlatih di rumah dan mereka mematuhinya.
"Saya boleh katakan kebanyakan daripada mereka boleh diturunkan walaupun mungkin tidak semuanya bersedia sepenuhnya, tetapi saya mungkin perlu membuat beberapa keputusan sukar tentang siapa yang akan tersenarai dan diletakkan dalam kesebelasan utama."
Must-Watch Video