LIGA INGGERIS
Ramsey mahu Emirates jadi kubu The Gunners
ARSENAL 2 WEST BROM 0
Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey, mahu The Gunners menjadikan Stadium Emirates sebagai kubu untuk memberikan mereka peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).
Skuad kendalian Arsene Wenger itu melakar tiga kemenangan daripada tiga perlawanan musim ini di laman sendiri dengan menewaskan West Brom 2-0, awal pagi tadi.
Iklan
Dua jaringan Alexandre Lacazette memastikan kemenangan untuk meletakkan semula Arsenal di belakang pendahulu liga, Manchester City, yang disertai oleh Manchester United, Chelsea, Liverpool dan Tottenham.
Ramsey teruja menyaksikan pasukannya meraih kemenangan itu dan menggesa rakan sepasukannya untuk terus mempamerkan persembahan cemerlang di laman sendiri.
"Ia merupakan satu persembahan yang mantap," katanya.
"Selepas keputusan ini, kami perlu mengambil kelebihan ini untuk terus beraksi cemerlang di laman sendiri.
"Kami menyedari West Brom adalah pasukan yang berkualiti dan mampu memberikan kesukaran kepada kami. Kami bertindak dengan lebih bersabar dan melancarkan serangan balas ke atas mereka.
"Kami mahu memastikan Stadium Emirates menjadi kubu kami. Kami telah memenangi tiga perlawanan di sini dan berharap dapat mengekalkan rekod itu," katanya.
Ramsey berasakan Arsenal sudah memperbaiki permainan sejak tewas 4-0 kepada Liverpool di Anfield, bulan lalu, dengan memastikan tidak dibolosi empat kali dalam lima perlawanan sejak kekalahan tersebut.
"Persembahan kami bertambah baik ketika bertemu Chelsea dan ia merupakan satu petanda yang baik. Kami mahu mengekalkan persembahan ini bagi perlawanan akan datang," katanya lagi.
Arsenal kini menukar perhatian mereka untuk saingan Liga Europa (UEL) berdepan BATE.
Must-Watch Video