Jurulatih futsal kelahiran Malaysia, Qusmaini Noor Rosli, secara rasmi disunting kelab dari Indonesia, Rafhely menjelang kempen Liga Futsal Profesional Indonesia bagi musim 2024/2025.

Nama kelab itu tidak asing lagi buat pengendali berusia 44 tahun itu kerana dia pernah bersama dengan pasukan yang berpengkalan di Sumatera Barat ketika saingan Liga Nusantara pada 2017.

Antara kejayaan cemerlang direkodkan Qusmaini adalah termasuk membawa skuad futsal Selangor meraih pingat emas buat julung kalinya di temasya SUKMA Sarawak 2024.

Bagaimanapun, tugas berat sedang menanti bekas pengendali Gombak TOT United itu memandangkan ini merupakan penampilan sulung Rafhely FC dalam liga divisyen utama Indonesia.

"Setelah melihat Selangor berjaya layak ke liga pro kali ini, pihak pengurusan mula mempertimbangkan kemasukan semula saya dalam pasukan tersebut.

"Bagi saya peluang ini saya anggap sebagai perkembangan positif kepada diri sendiri, industri sukan futsal negara dan juga perkembangan futsal di Sumatera Barat.

"Saya akan menggunakan kesempatan ini untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya," katanya.

Debut pertama di pentas liga divisyen ini menyaksikan Rafhely FC bakal membuat pertembungan dengan
beberapa kelab gergasi antaranya ialah bintang Timur Surabaya, Black Steel Papua serta Kancil WHW.