Skip to main content

Bola Sepak

Pogba bekerja keras untuk United, kata Herrera

paul-pogba_aoksztsxmhay1ecropuv5ibr0.jpg
Paul Pogba bekerja keras untuk Manchester United dan sentuhan ajaibnya menjadi aset buat kelab, kata rakan sepasukan, Ander Herrera.

Pogba dilihat seperti dilahirkan semula sejak berada di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer, tatkala prestasinya membolehkan tonggak Perancis itu meraih anugerah pemain terbaik bulan Disember buat kelab itu.

Pemenang Piala Dunia itu dilihat mengalami masalah dengan bekas pengurus United, Jose Mourinho, yang sering mengetepikannya daripada kesebelasan utama tetapi Pogba bangkit dengan penuh bergaya sejak ketibaan Solskjaer.

Pogba menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan bersama skuad bimbingan Solskjaer itu, sekali gus memberikan pengurus itu rekod kemenangan 100 peratus bersama United dan Herrera memuji impak yang diberikan oleh bintang tengah tersebut.

"Pogba sangat penting buat kelab, tidak kira di dalam mahupun di luar padang," ujar Herrera.

"Dia beraksi dengan cemerlang, bukan hanya ketika bersama bola. Saya rasa apabila kami kehilangan bola, dia hadir untuk bertahan dan bersedia membantu pasukan.

"Dia bermain dengan mudah dan efektif sambil mempamerkan sentuhan ajaib apabila berada dalam kawasan lawan, jadi kami gembira dengannya.

"Saya rasa Nemanja Matic dan saya serta pemain lain mahu membantunya menjadi lebih bebas dan itu yang kami lakukan."

Kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United awal pagi semalam memberikan penjaga gol, David De Gea, aksi pertama tanpa bolos di bawah bimbingan Solskjaer dan ia jelas melegakan Herrera.

"Ia sangat penting buat De Gea," tambah Herrera.

"Kami mahu De Gea gembira kerana dia agak kecewa dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Saya perlu menemaninya selepas perlawanan. Dia memberitahu bahawa dia cuba untuk tidak dibolosi. Saya gembira untuknya apabila dapat melakukan apa yang dimahukan."

Advertisement

Must Watch Video