Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino tidak jangka ada penambahan pemain baru

pochettinocropped_1o7wudc4wevlf1e1v5x6e3az31.jpg
Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menjangkakan pasukannya tidak akan membawa masuk pemain baru ketika jendela perpindahan bulan ini.

Spurs melengkapkan kemenangan 7-0 ke atas kelab Liga Dua, Tranmere Rovers, dalam pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi, sekali gus masih bersaing dalam empat kejohanan musim ini.

Song Heung-Min menjaringkan gol tetapi bakal menyertai skuad Piala Asia Korea Selatan tatkala Pochettino kehilangan salah seorang tonggak utamanya bagi mengharungi tempoh getir.

Aksi seterusnya adalah separuh akhir pertama Piala Liga berdepan Chelsea, disusuli dengan pertemuan dengan pasukan yang sedang bangkit, Manchester United, di Wembley hujung minggu depan.

Spurs tidak membawa masuk sebarang nama baru ketika musim panas lalu dan Pochettino menafikan rancangan untuk mendapatkan mana-mana pemain bulan ini.

"Saya percaya kami tidak akan melakukan apa-apa," katanya selepas aksi pagi tadi.

Apabila ditanya sama ada dia fikir pasukannya cukup kuat dan bersedia, pengurus dari Argentina itu menambah: "Saya sangat gembira dengan pasukan. Anda sentiasa boleh meningkat, tidak kira apa sahaja."

Fernando Llorente meraih peluang untuk beraksi dalam aksi pusingan ketiga awal pagi tadi, melengkapkan hatrik dalam babak kedua tatkala Tranmere dibolosi enam gol dalam babak kedua.

Penyerang dari Sepanyol itu dikatakan akan kembali ke negaranya dan menarik minat Athletic Bilbao dan Valencia memandangkan kontraknya bersama Spurs bakal berakhir hujung musim ini.

"Ya, tinggal enam bulan sahaja lagi kontrak dia dengan kelab dan lihat apa berlaku nanti," tambah Pochettino.

"Seperti saya terangkan tentang pemain lain, ia bukan kuasa kami tetapi bergantung kepada kemahuan pemain. Sudah tentu kini adalah musim perpindahan."

Advertisement

Must Watch Video