Skip to main content

Bola Sepak

Piala Negara-Negara Afrika: Gol berganda Olunga lengkapkan kebangkitan Kenya

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

olunga-kenya.jpg
KENYA 3 TANZANIA 2

Kenya mencerahkan peluang untuk maju ke peringkat kalah mati Piala Negara-Negara Afrika selepas dua gol Michael Olunga memberikan mereka kemenangan 3-2 ke atas Tanzania, awal pagi tadi. 


Kedua-dua pasukan tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan C dan secara realistiknya, satu kemenangan diperlukan mereka untuk menghidupkan peluang ke pusingan 16, dengan Tanzania membuka tirai gol melalui sentuhan Saimon Msuva pada minit keenam.

Olunga mempamerkan ketajaman penyudahnya apabila menyamakan kedudukan melalui gol akrobatik tetapi Mbwana Samatta pantas memulihkan keunggulan Tanzania, lima minit menuju waktu rehat. 

Namun, Kenya, yang menghadapi Senegal dalam perlawanan terakhir, kembali memberikan cabaran apabila Johanna Omolo menjadikan kedudukan 2-2 selepas sejam permainan dan Olunga sekali lagi menggegar gawang ketika permainan berbaki 10 minit untuk mengutip mata penuh. 

Tanzania mempamerkan aksi penuh meyakinkan di peringkat awal perlawanan dan meraih ganjarannya apabila Msuva menyusuli percubaan awal Samatta.

Kedua-dua pemain itu hampir menggandakan kedudukan Tanzania tetapi Kenya mengambil kesempatan untuk menyamakan kedudukan apabila Olunga menghukum kesilapan Aishi Manula yang gagal mematahkan satu sepakan percuma. 

Tanzania kembali di depan berselang seminit selepas giliran penjaga gol lawan, Patrick Matasi, melakukan kesilapan yang memberi ruang kepada Samatta. 

Manula cemerlang menyekat percubaan Victor Wanyama tetapi penjaga gol Tanzania itu gagal menghalang percubaan Omolo dari jarak dekat.

Olunga sekali lagi menjadi duri dalam daging lawan apabila melepaskan percubaan dari hujung kotak penalti dan biarpun ia bukanlah rembatan sempurna, namun ia sudah cukup untuk mengelirukan Manula untuk gol kemenangan. 

Advertisement

Must Watch Video