Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Sabah waspada muslihat Kuching City

sabah.jpg
Pemain Sabah FC diingatkan supaya tidak memandang rendah keupayaan Kuching City FC apabila kedua-dua pasukan itu berentap dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching malam esok.

Malah pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, menjangkakan The Cats akan menghadirkan saingan lebih sengit dengan kehadiran ketua jurulatih baru, Aidil Sharin Sahak.

Katanya, taktikal digunakan bekas pengendali Kedah Darul Aman FC itu akan menjelmakan penampilan Kuching City yang berbeza berbanding sebelum ini dalam Derbi Borneo berkenaan.

“Ini merupakan kali ketiga Sabah menentang Kuching City,dan kali kedua tampil di Stadium Negeri bagi saingan Liga Malaysia.

“Seperti biasa, pertembungan Derbi Borneo ini sememangnya cukup sengit terutama Kuching City dengan kehadiran jurulatih baru mereka.

“Sudah pasti mereka mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan Sabah tidak mendapat keputusan positif apabila bermain di sana nanti,” katanya.

Sebagai rekod, ini merupakan perlawanan ketiga Liga Malaysia kedua-dua pasukan musim itu dengan dua perlawanan Liga Super sebelum ini memihak  Sabah apabila menang 2-1 di Kuching pada 6 Mac lalu diikuti 4-3 di Likas pada 8 Julai lalu.

Dalam pada itu, Kim Swee juga menuntut barisan pertahanan The Rhinos untuk mengekalkan tahap disiplin selepas melepaskan 27 gol dalam saingan Liga Malaysia.

“Biarpun begitu, kami telah mula atasi masalah ini sebaik pusingan kedua Liga Super bermula.

“Ini antara kelemahan kami. Jika dilihat dalam pusingan kedua selepas perlawanan menentang Kuching City, kami berjaya memperbaiki daripada dibolosi melebihi daripada satu gol.

“Apa yang penting, kami akan terus memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan Sabah tidak dibolosi banyak gol dalam setiap perlawanan,” katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian

 

Advertisement

Must Watch Video