PIALA MALAYSIA
Piala Malaysia: Negeri Sembilan terima tentangan Kelantan United sebelum ke suku akhir
NEGERI SEMBILAN FC 4 KELANTAN UNITED FC 2
(Negeri Sembilan ke suku akhir dengan agregat 5-2)
Kelantan United FC mempamerkan aksi melawan sebelum tewas 2-4 kepada Negeri Sembilan FC dalam perlawanan kedua pusingan 16, Piala Malaysia di Paroi sebentar tadi.
Bagaimanapun, ia belum cukup untuk menafikan kemaraan Negeri Sembilan ke suku akhir dengan agregat 5-2
Iklan
Berbekalkan kelebihan satu gol hasil kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama di Kota Bharu pada 5 Ogos lalu, kem skuad Jang itu cemas apabila Kelantan United menyamakan defisit berkenaan seawal minit ketiga menerusi penyudah OJ Porteria.
Namun, keadaan itu hanya bertahan selama empat minit, di mana Negeri Sembilan kembali mengikat kedudukan hasil jaringan Cassagrande, yang menanduk masuk lintangan tinggi Zamri Pin Ramli, pada minit ketujuh.
Negeri Sembilan kian selesa apabila R. Barathkumar melebarkan kelebihan mereka pada minit ke-19 sebelum Hein Htet Aung menyumbat satu gol lagi pada minit ke-33.
Dalam separuh masa kedua, Kelantan United merencanakan kebangkitan dan berhasil mengecilkan jurang itu menerusi gol sepakan penalti Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-66 selepas Ismahil Akinade dijatuhkan Nasrullah Haniff Johan.
Negeri Sembilan turut memperoleh sepakan penalti susulan insiden bola terkena tangan Latiff Suhaimi dan kesempatan itu tidak dipersiakan Youssef Ezzejjari pada minit ke-86.
Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan akan menghadapi pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), bagi dua aksi penentuan ke separuh akhir bulan depan.
Must-Watch Video