Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Nafuzi tagih sokongan penyokong Kedah hadapi Perak

kedah-darul-aman-fc.jpg
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, mengharapkan kebangkitan pasukannya ke atas Perak FC dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium Darul Aman malam esok.

Pengendali itu mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri selain mendapat sokongan padu ribuan penyokong Hijau Kuning bagi memadam kelebihan The Bos Gaurus, yang mencatatkan kemenangan 3-1 dalam aksi pertama di Stadium Perak pada 3 Ogos lalu.

"Saya berharap perlawanan kedua bertemu Perak FC di tempat sendiri mampu dapatkan kembali kemenangan dengan jaringan melebihi agregat kerana kami mahu layak ke suku akhir Piala Malaysia.

"Saya juga berharap corak permainan yang akan kami mainkan pada Jumaat ini berbeza dengan perlawanan pertama di Perak. Kali ini, giliran kami pula sebagai tuan rumah," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Jitra semalam.

Nafuzi mengakui Perak membawa bekalan selesa ke Alor Setar tetapi dia percaya kelebihan masih menjadi milik pasukannya dengan keyakinan Stadium Darul Aman akan dipenuhi lebih ramai penyokong sendiri.

Jelasnya, setiap peluang yang terhidang dalam perlawanan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh KDA FC untuk mendapatkan gol.

"Perak memiliki bekalan yang agak selesa dengan kelebihan jaringan gol tetapi saya rasa tidak mustahil untuk mengatasi kelebihan itu.

"Kami sudah beberapa kali beraksi menentang Perak FC, jadi kami akan bersedia sepenuhnya dengan apa juga cara Perak bermain nanti," ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video