Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Juara 33 kali berdepan laluan berliku

piala-malaysia-2017.jpg
Selangor berdepan tugas getir untuk memastikan laluan ke separuh akhir Piala Malaysia apabila tumbang 3-2 kepada Kedah dalam pertemuan pertama suku akhir di Stadium Selayang, malam ini. 

Biarpun lebih awal memberi ancaman ke arah pintu gol pelawat dengan tandukan kencang Adam Nor Azlin, namun kelemahan di benteng Selangor cepat dihidu Kedah apabila umpanan Rizal Ghazali mudah ditolak masuk Ken Ilso Larsen untuk gol pembukaan seawal minit ketujuh. 

Penggempur Denmark itu sekali lagi memainkan peranan untuk melebarkan kelebihan buat Lang Merah apabila menyumbat gol kedua. 

Tonggak Selangor, Amri Yahyah, kemudian berpeluang untuk merapatkan kedudukan menerusi beberapa percubaan, namun kecekapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, memastikan kedudukan separuh masa pertama berakhir 2-0. 

Pemain import Red Giants, Rufino Segovia, turut mempertingkatkan aksi sebaik permainan bersambung dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-53. 

Dendam Ilso yang gagal mencetak hatrik apabila jaringannya pada minit ke-58 disahkan ofsaid, dibayar dengan gol ketiga sumbangan Syazwan Zainon, 10 minit kemudian. 

Selangor enggan berdiam diri apabila Andik Vermansyah memberikan umpanan cantik untuk disudahkan Rufino. 

Kedudukan 3-2 menyaksikan permainan sengit bertukar tegang dengan sedikit pertengkaran berlaku. 

Bagaimanapun, anak buah P. Maniam yang giat mengasak kubu lawan terpaksa akur kerana juara musim lalu itu lebih bijak memanfaatkan peluang yang terhidang. 

Pahang akan bertemu Perak di Stadium Darulmakmur dalam aksi tunggal Piala Malaysia, malam esok. 

Perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung pada 23 dan 24 September depan. 

Keputusan lain: 

Felda United 1 PKNP FC 3

Melaka United 1 Johor Darul Ta'zim 4

 

Advertisement

Must Watch Video