Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: JDT tetap waspada ancaman Negeri Sembilan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

solari.jpg
Biarpun memiliki bekalan selesa, pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari, tetap mengingatkan skuad kendaliannya itu untuk berwaspada apabila berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.

Menurutnya, skuad Hobin Jang Hobin itu dilihat mampu melakukan kejutan dalam perlawanan berkenaan dan sekiranya kesebelasan Harimau Selatan beraksi sambil lewa, ia boleh mengundang padah.

“Ya, kami mendahului 3-0 tetapi ia tetap satu perlawanan yang sukar. Jadi, kami telah melakukan persiapan rapi bagi melayani kunjungan Negeri Sembilan FC.

“Ramalan saya, mereka akan bermain bermati-matian bagi merapatkan jurang atau memadamkan terus defisit gol yang dimiliki JDT ketika ini.

“Oleh itu, kesemua pemain tidak boleh mengambil mudah perlawanan kali ini dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Untuk rekod JDT memiliki kelebihan daripada segi aggregat hasil kemenangan 3-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 13 September lalu.

Begitupun, skuad Harimau Selatan itu kehilangan khidmat pemain tengah, Leandro Velazquez, selain penyerang sensasi, Fernando Forestieri.

Mengulas mengenai kesebelasan pemain yang bakal beraksi, Solari berkata ia masih belum dimuktamadkan setelah skuad Harimau Selatan itu selesai mengharungi aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Katanya, kesemua pemain perlu berada dalam keadaan cergas sepenuhnya sebelum diturunkan kelak.

“Tak ada kepastian lagi pemain manakah yang akan beraksi tapi kita akan lihat kerana walaupun tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale, pemain tetap mempamerkan aksi yang bersemangat.

“Cuma kali ini, mereka perlu berikan fokus untuk berdepan Negeri Sembilan FC bagi meneruskan momentum kemenangan di peringkat suku akhir kedua ini,” katanya.

--Sinar Harian
 

Advertisement

Jadual

warning-logo Tiada Maklumat Jadual

Must Watch Video