Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, kecewa apabila perjalanan pasukannya dalam saingan Piala Malaysia berakhir di peringkat suku akhir semalam.
Pasukan juara bertahan itu tersingkir dengan kekalahan agregat 1-4 selepas ditundukkan 1-3 oleh Terengganu FC dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Tegas Hodak, dia tidak memiliki banyak pilihan selepas pemain utamanya tidak berada di prestasi terbaik gara-gara masalah kesihatan.
J. Partiban, Romel Morales dan Ryan Lambert hanya dapat dimasukkan dalam babak kedua kerana tidak cergas dan perkara itu jelas mengganggu perancangan asal skuad Warga Kota berkenaan.
"Pada penghujung perlawnan, mereka memiliki kualiti individu, terutama di bahagian serangan, dan itulah yang menjadi perbezaannya," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Kami memiliki beberapa pemain yang tidak sihat, jadi kami tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik.
"Anda dapat lihat apabila Romel dibawa masuk, dia tidak bersedia untuk perlawanan ini.
"Malangnya, skuad kami agak kecil dan ia menjadi masalah kami sejak dua tahun lalu.
"Kami berharap akan ada bajet yang lebih besar tahun depan kerana ia akan membantu kami mendapatkan lebih ramai pemain yang berkualiti," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Nov 13 2022