Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Aksi kedua pusingan 16 medan uji pemain JDT -- Solari

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jdt-esteban-solari.jpg
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari, mahu menjadikan aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2023 berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim malam esok sebagai medan ‘menguji’ kesebelasan pemain yang jarang beraksi musim ini.

Menurut Solari, sudah tiba masanya pemain yang sering beraksi untuk ‘berehat seketika’ dan memberikan peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan mereka.

Justeru, aksi berdepan skuad The Red Warriors itu diharap dapat dimanfaatkan kesebelasan pemain yang bakal diturunkan kelak.

“Sekali lagi, kami akan menentang Kelantan FC bagi saingan Piala Malaysia dan kali ini, ia bagi perlawanan kedua di peringkat pusingan 16.

“Sebenarnya, ia bukanlah disebabkan bekalan yang kami miliki ketika ini tetapi ia lebih kepada penggiliran pemain dan memberikan minit permainan kepada pemain-pemain berkenaan.

“Lagi pun, setelah menunjukkan kegigihan serta kesungguhan dalam sesi latihan pasukan selama ini, mereka berpeluang untuk membuktikannya dalam perlawanan sebenar,” katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu dilihat sudah melangkah ‘sebelah kaki’ ke saingan suku akhir hasil kemenangan 5-1 ke atas skuad Gomo Kelate Gomo itu dalam aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, 4 Ogos lalu.

Dalam masa sama, Solari turut mengingatkan kesebelasan pemainnya agar tidak memandang mudah aksi berdepan Kelantan FC.

Katanya, skuad The Red Warriors itu merupakan pasukan yang sering beraksi dengan memberikan tekanan kepada lawan.

“Bukan mudah berdepan dengan pasukan ini (Kelantan FC), oleh itu kesemua pemain diharap dapat memberikan fokus sepanjang perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Solari mengakui berdepan dengan masalah kecederaan dalam kalangan beberapa pemain ketika ini.

Bagaimanapun, masalah itu telah diatasi dengan mengenal pasti pemain-pemain terbaik untuk beraksi berdepan Kelantan FC.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, masanya sudah tiba untuk rehatkan beberapa pemain yang sering beraksi.

“Namun, saya percaya pemain-pemain yang bakal beraksi kelak turut mempunyai kualiti tersendiri dalam usaha menjamin kejayaan pasukan,” katanya.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Jadual

warning-logo Tiada Maklumat Jadual

Must Watch Video