PIALA FAM
Piala FAM : KDMM FC tekad tamatkan kemarau gol
Kelab dari Sabah yang beraksi dalam saingan Piala FAM, KDMM FC, bertekad untuk menamatkan kemarau jaringan untuk mengutip mata penuh apabila mereka turun menentang MPKB-BRI U-BES di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, hari ini.
"Empat perlawanan (tiga liga dan satu Piala FA) tanpa jaringan adalah rekod yang tidak baik. Apapun, pasukan telah bekerja keras dalam latihan. Mereka juga ada menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan persahabatan.
"Saya harap esok (hari ini) akan ada jaringan untuk memberikan mata penuh pertama musim ini. Kemenangan adalah apa yang sangat diperlukan pasukan sekarang bagi mengelakkan daripada terus dibebani tekanan dalam kelompok tercorot liga," kata pengurus pasukan, Henry Saimpon, ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.
Iklan
Beliau percaya peluang untuk menang sentiasa ada untuk skuad bimbingan Andrew Majanggim itu jika pemain dapat memberikan persembahan terbaik dan fokus sepenuhnya.
"Pemain perlu dahagakan kemenangan dan menganggap setiap perlawanan itu sebagai perlawanan akhir..kena main habis-habisan.
"Pasukan kena mula mengutip mata penuh bagi memastikan peluang untuk mengejar kedudukan empat pasukan teratas terus terbuka," katanya.
Rekod dua pertemuan dua pasukan berkenaan musim lalu berpihak kepada KDMM FC apabila mereka menang 1-0 di tempat lawan pada pusingan pertama dan menang 2-0 di tempat sendiri di Stadium Keningau pada pusingan kedua.
Bagaimanapun, MPKB-BRI U-BES kini tiga mata lebih baik berbanding KDMM FC dalam saingan Kumpulan A.
Selepas masing-masing mengharungi tiga perlawanan, MPKB-BRI U-BES kini di kedudukan kelima dengan empat mata manakala KDMM FC di tangga kedua tercorot dalam kalangan lapan pasukan dengan hanya satu mata.
Must-Watch Video