Sri Pahang FC nyata tidak mampu menandingi kualiti yang dipamerkan Selangor FC sebelum tunduk menyerah 0-4 dalam pusingan 16 Piala FA di stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam tadi.

Perkara itu diakui pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, yang menyifatkan Selangor wajar meraih kemenangan besar itu selepas setiap gerakan dan taktikal yang direncanakan Gergasi Merah sepanjang perlawanan sentiasa menjadi.

"Sudah pasti Selangor main lebih baik dan mempunyai standard yang lebih tinggi. Apa-apa yang mereka buat menjadi dan kami berdepan kesulitian.

"Memang separuh masa pertama kami nak bertahan dahulu, tetapi lima minit terakhir separuh masa pertama ada kesilapan sedikit menyebabkan kami bolos.




"Selepas itu, kami terpaksa bermain dengan corak terbuka untuk mencari gol dan apabila bermain dengan corak sebegitu, kami menerima padah," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal mara ke pusingan suku akhir Piala FA, malah lebih menambah duka apabila rekod tanpa tewas lebur.

Tonggak muda tengah sensasi Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, tampil garang dengan meledak dua gol selain Faisal Halim dan Brendan Gan turut mengukir nama selaku penjaring.

Dalam pada itu, Fandi turut mengakui ketiadaan pemain di bahagian tengah merencatkan corak serangan pasukan Pantai Timur itu.

"Ini bukan alasan, tetapi buat sementara ini (prestasi) kami memang sedang menurun sebab kami kekurangan pemain tengah. macam tadi ada penyerang yang terpaksa dibawa masuk untuk bermain di bahagian tengah," katanya.

Kredit: Sinar Harian