PIALA FA
Piala FA: Kuala Lumpur City sasar teruskan momentum Piala AFC
Kuala Lumpur City tidak mempunyai banyak pilihan selain memberi fokus kepada satu demi satu perlawanan -- merujuk kepada undian sukar buat barisan Bojan Hodak itu dalam Piala FA.
Pengendali kelahiran Croatia itu tidak mahu terburu-buru dalam meletakkan sasaran, sebaliknya 'derby' Lembah Klang di Stadium MBPJ, Jumaat ini menjadi perkara utama yang perlu diselesaikan sebelum mereka memasuki suku akhir musim 2022.
"Undian semalam adalah sukar apabila laluan kami turut disertai pasukan handalan seperti Terengganu, Kedah, Sabah dan Selangor.
Iklan
"Bagaimanapun, laluan JDT lebih beruntung untuk ke final.
"Halangan kami kali ini adalah Selangor. Ia akan menjadi pertemuan 'derby' Lembah Klang, bagus untuk peminat.
"Keputusan membabitkan kami agak seimbang dan beberapa faktor kecil akan menjadi penentu, jadi kami akan mengharungi satu persatu perlawanan," katanya dalam sesi latihan pasukan di ibu kota, petang tadi.
Tambahnya, kem Warga Kota tetap tenang biarpun melakar kisah berbeza dalam saingan domestik dan Piala AFC musim ini berikutan dua perlawanan terakhir Liga Super, barisannya perlu berkunjung ke gelanggang lawan.
"Kami tidak begitu tertekan, hampir setiap perlawanan kami mengharunginya di laman lawan.
"Tiada istilah 'kalau' jadi kami perlu fokus kepada satu persatu perlawanan.
"Oleh itu, kami perlu beri tumpuan untuk menghadapi Selangor terlebih dahulu, kemudian baru lihat apa yang terjadi. Jika layak maka ia mengagumkan.
"Kami mempunyai bekalan moral selepas mencatat dua perlawanan dalam Piala AFC.
"Tapi kami adalah sebuah pasukan bajet kecil jadi kami tidak mampu beri tumpuan kepada semua kejohanan.
"Saya jangka kami akan berada di kedudukan pertengahan Liga Super seperti musim lalu yang menyaksikan kami menjulang Piala Malaysia.
"Barangkali musim ini kami akan cuba memenangi piala berbeza pula," katanya.
Must-Watch Video