Kehadiran Faisal Halim dalam bilik persalinan mencetuskan emosi dan inspirasi luar biasa buat barisan pemain Selangor sebelum menewaskan Negeri Sembilan 4-0 dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.
Dua gol, masing-masing daripada Yohandry Orozco dan Avin Fortes, memberikan kemenangan mudah buat Selangor untuk mencongak perhitungan dengan Kuching City bagi penentuan ke separuh akhir hujung bulan ini.
Ketua jurulatih The Red Giants, Nidzam Jamil, dalam temu bual selepas perlawanan itu, berkata: "Sudah pasti, Faisal sudah sebulan tidak bersama kami, dia merupakan pecahan yang hilang buat kami.
"Apabila Faisal berada di sini untuk menyokong, dia juga datang ke bilik persalinan sebelum perlawanan, saya dan rakan-rakan sepasukannya mengharapkan dia akan dapat pulang dengan segera.
"Dia datang 30 minit sebelum sepak mula, tiada siapa sangka, saya juga tidak diberitahu dan agak terkejut
"Ia agak beremosi, kami dapat bergurau seperti biasa dan kami amat rindu untuk berbual dengannya.
"Saya amat gembira melihat perkembangannya."
Sebagai rekod, Faisal tidak dapat bersama Selangor selepas detik hitam disimbah asid awal bulan lalu.
Muzaffar Musa
Sat Jun 15 2024