BOLA SEPAK
Piala FA: KDMM FC mahu langkah kanan
Pasukan kelab dari Sabah, KDMM FC, berhasrat memulakan musim ini dengan kemenangan apabila melayan kunjungan MOF FC dalam saingan Piala FA di Stadium Likas, malam ini.
Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata hasrat itu hanya akan tercapai jika pemain memberikan persembahan terbaik serta tidak mudah mengaku kalah.
"Perlawanan pertama ini memang mendebarkan kerana ia adalah gambaran pertama terhadap persiapan yang dilakukan selama ini.
Iklan
"Persembahan dan keputusan perlawanan ini juga akan memberi kesan dalam banyak aspek dan ia turut akan mempengaruhi persepsi kami terhadap pasukan untuk perlawanan akan datang," katanya ketika ditemui, semalam.
Perlawanan malam ini adalah penampilan pertama KDMM FC dalam saingan Piala FA selepas menyertai saingan Liga FAM, musim lalu.
Peter berkata, penampilan pertama dalam saingan Liga FAM musim lalu telah memberikan banyak pengalaman dan pengajaran berguna untuk menghadapi saingan musim ini.
"Musim ini, kami juga bersaing dalam saingan Piala FA dan kami menganggap setiap perlawanan itu penting dan perlu dihadapi dengan misi mahu menang.
"Kami telah buat persiapan sehabis baik dan saya percaya pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan cabaran, malam esok (malam ini)," katanya.
Sementara itu, beliau turut berharap penyokong pasukan itu akan turun beramai-ramai ke Stadium Likas, malam ini, bagi memberi suntikan semangat kepada anak buahnya.
"Kami mendapat sokongan yang agak baik pada musim lalu apabila beraksi sebagai tuan rumah di Kompleks Sukan Keningau, dan saya harap mereka dapat meneruskannya musim ini dengan turun ke Stadium Likas."
Must-Watch Video