LIVERPOOL 4 ACCRINGTON 0
Arne Slot menggesa penyokong Liverpool supaya tidak terbawa-bawa selepas Federico Chiesa menyumbat gol pertamanya bersama kelab itu dalam kemenangan 4-0 pusingan ketiga Piala FA ke atas Accrington Stanley, tengah malam tadi.
Chiesa menggantikan Dominik Szoboszlai selepas rehat pertemuan di Anfield itu untuk membuat penampilan kelimanya buat The Reds sejak berpindah daripada kelab Serie A, Juventus.
Pemain antarabangsa Itali itu mempamerkan aksi memberangsangkan dan menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool di penghujung perlawanan dengan menerusi percubaan kaki kanannya.
Malah, beberapa saat sebelum itu dia sudah hampir meledak tetapi rembatannya diselamatkan oleh penjaga gol pelawat, Billy Crellin, dan lantunan itu disempurnakan pemain gantian, Jayden Danns, untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Chiesa mencipta enam percubaan -- tertinggi -- berbanding mana-mana rakan sepasukannya, manakala hanya Darwin Nunez (11) mencatatkan lebih banyak sentuhan dalam kotak penalti Accrington berbanding pemain Itali itu.
Dan sempena jadual padat akan datang, dengan Nottingham Forest akan menjadi halangan seterusnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Slot beranggapan kepulangan Chiesa ke dalam skuad utama adalah penting untuk mereka bergerak ke hadapan.
"Ia pastinya langkah pertama yang baik tetapi saya suka corak permainan Accrington Stanley.
"Kami perlu mengambil kira bahawa kami bercakap mengenai tahap Liga Dua.
"Adalah bagus untuk dia kembali ke padang.
"Dia menjadi ancaman tetapi usahlah kita terbawa-bawa."
Shaiful Shamsudin
Sun Jan 12 2025