Pertembungan tradisi 'Northen Derby' malam ini pasti menjanjikan aksi yang lebih menarik apabila Kedah Darul Aman FC akan bertemu Penang FC dalam aksi kedua suku akhir Piala FA Malaysia 2024 di Stadium Darul Aman.

Kedah Darul Aman FC yang mencatat kemenangan ke atas Penang FC dalam aksi pertama dilihat masih belum selesa untuk mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat seterusnya apabila hanya berkelebihan satu jaringan ke atas skuad Harimau Kumbang itu.

Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah Al-Hafiz berharap situasi berhadapan pasukan Penang FC tahun lalu di mana mereka disingkirkan oleh pasukan tersebut tidak akan berulang lagi.

“Ya, tahun lepas kita kalah dengan Penang juga. Insya-Allah, tahun ini kita akan buat yang lebih baik di depan penyokong sendiri. Kita harap kemenangan milik Kedah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Bola.

Info Siaran Langsung (Live Streaming) Kedah Darul Aman FC vs Penang FC

Perlawanan timbal balik aksi suku akhir melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Penang FC ini akan dilangsungkan pada Jumaat, 5 Julai 2024 jam 9 malam di Stadium Darul Aman. Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Arena Bola (CH803) dan live streaming melalui aplikasi Astro GO dan sooka.