TERENGGANU FC 0 KUALA LUMPUR CITY FC 0
(KL City ke final selepas menang penentuan penalti 4-2)

Penjaga gol, Azim Al Amin Kamarudin, menyelamatkan dua sepakan dalam penentuan penalti untuk membawa Kuala Lumpur City FC ke final Piala FA 2023 dengan menyingkirkan Terengganu FC di Gong Badak sebentar tadi.

Pemain muda berusia 21 tahun itu jelas menunjukkan potensi besar yang dimilikinya, terutama dalam mengekang asakan percubaan bertali arus tuan rumah sepanjang 120 minit.

Biarpun tanpa sebarang jaringan, perlawanan penuh aksi dapat disaksikan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di mana percubaan Liridon Krasniqi yang terbias buat Terengganu dan rembatan liar Paulo Josue buat KL City antara yang menghiasi separuh masa pertama.

Terengganu jelas beraksi dominan dalam babak kedua tetapi kekentalan Azim Al Amin dan pertahanan KL City menafikan jaringan tuan rumah, antaranya percubaan jarak jauh Nik Sharif Haseefy dan rembatan Habib Haroon.

Tambahan masa 30 minit juga masih gagal memisahkan kedua-dua pasukan sehingga aksi separuh akhir itu terpaksa dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Dan Azim Al Amin membuktikan faktor usia bukanlah penghalang untuk memiliki kekuatan mental terbaik, di mana dia menafikan tendangan Nik Sharif dan Liridon dalam penentuan itu.

KL City seterusnya akan menantikan pemenang di antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT) bagi penentuan gelaran dalam aksi final di Stadium Sultan Ibrahim bulan depan.