BOLA SEPAK
Piala Dunia Qatar : Luis Enrique ada sebab belum sambung kontrak
Luis Enrique menjelaskan alasannya tidak menandatangani kontrak baharu sebagai ketua jurulatih Sepanyol adalah supaya mudah untuknya mengundurkan diri sekiranya La Roja menempuhi kekecewaan dalam Piala Dunia.
Bekas pemain dan pengurus Barcelona berusia 51 tahun itu kembali menggalas tugas berkenaan buat penggal kedua sejak mengetuai pasukan senior Sepanyol pada November 2019.
Lima bulan sebelum itu, dia meletakkan jawatan atas faktor keluarga berikutan anak perempuannya menderita barah sebelum meninggal dunia pada Ogos 2019.
Iklan
Apabila Luis Enrique kembali ke pangkuan Sepanyol, dia hanya menandatangani kontrak tiga tahun yang akan mengekalkannya sebagai pengurus hingga Piala Dunia 2022.
Sejak itu, dia telah mengetuai Sepanyol ke temasya Qatar 2022 dan laluan La Roja ke separuh akhir Euro 2020 sambil menarik perhatian ramai atas persembahan mereka.
Bagaimanapun, di sebalik sebahagian besarnya berlangsung positif, dia masih meragui masa depannya.
Ditanya mengapa dia belum lagi menandatangani kontrak baru selepas Piala Dunia, Luis Enrique –- yang baru-baru ini dikaitkan dengan Manchester United -– berkata: “Saya sedang berada di syurga.
"Walaupun masih belum memperbaharui kontrak, sebenarnya saya telah menyenangkan tugas anda (media). Memandangkan kontrak saya akan tamat dan sekiranya timbul masalah dalam Piala Dunia, anda tidak perlu mempersoalkan saya agar dipecat."
Malah, dia menafikan sebarang isu negatif di antaranya dengan Presiden dan Pengarah Sukan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales dan Jose Molina.
"Saya berasa sangat disokong oleh presiden dan pengarah sukan," tambahnya.
“Mereka menandatangani saya bukan sekali tetapi dua kali.
"Dalam keadaan ketika saya kembali, saya tidak akan melupakannya. Saya akan memenuhi komitmen saya, iaitu hingga selepas Piala Dunia."
Must-Watch Video