Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: Akanni, Bruno bawa TFC II ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img_9676.jpg
TERENGGANU FC II 2 SELANGOR UNITED 0

Hanya empat minit diperlukan Akanni Sunday Wasiu untuk membantu kemenangan 2-0 Terengganu FC (TFC) II ke atas Selangor United di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Penyerang Nigeria itu masuk menggantikan Zuasyraf Zulkiefle pada minit ke-71 sebelum menyambar hantaran Bruno Suzuki untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.

Jaringan Bruno dalam masa kecederaan seterusnya memastikan juara bertahan itu mara ke separuh akhir apabila UKM FC turut menang bertemu Kuala Lumpur.

Sepak mula Selangor United pantas dimatikan tuan rumah yang menguji kubu lawan menerusi rembatan deras Ashari Samsudin, disusuli tandukan tinggi Mohd Ramzi Sufian.

Tekanan awal daripada TFC II memaksa pelawat melakukan dua kekasaran ke atas Bruno dan Ashari untuk memperlahankan rentak tuan rumah.

Usaha itu hanya berhasil sehingga minit ke-27 apabila penjaga gol, Damien Lim Chien Khai, menyelamatkan percubaan Ashari serta sepakan kencang Ramzi, dua minit kemudian.

Selangor United hanya dihidangkan peluang menerusi Raziq Shah Zaim yang masuk ke dalam kotak penalti dari sebelah kanan hanya untuk tolakannya tepat ke arah penjaga gol.

Aksi selepas rehat tidak banyak berubah dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang sehinggalah kemasukan Akanni untuk bergandingan dengan Bruno.

Percaturan jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan, itu membuahkan hasil selepas Akanni menolak masuk hantaran lintang Bruno dari sebelah kiri pada minit ke-75.

Bruno mengesahkan kemenangan 2-0 buat TFC II melalui ledakan kaki kiri yang berpunca daripada sepakan penjuru Ahmad Takhiyuddin Rosli dalam masa kecederaan.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Advertisement

Must Watch Video