Skip to main content

Bola Sepak

Piala Belia: Terengganu raih kemenangan penting

trg5.jpg
Terengganu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri dengan membenam Felda United 3-1 dalam suku akhir pertama Piala Belia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.

Peluang tuan rumah hadir seawal minit pertama yang menyaksikan sepakan deras Mohd Yusri Aiman Rani di dalam kotak penalti digagalkan penjaga gol lawan, Mohd Arif Khairul Anuar.

Lima minit kemudian, Felda United turut berkesempatan menguji kubu tuan rumah, malangnya sepakan percuma Mohd Arrieffahmi Mohd Azam ditepis Mohd Syahmi Yunof.

Penyerang Terengganu, Abdul Halim Hamzah, meletakkan pasukannya satu gol di depan pada minit ke-18 selepas mudah menyudahkan hantaran leret Mohd Yusri.

Gol itu menyemarakkan semangat tuan rumah untuk menggandakan jaringan menerusi Muhd Haziq Fauzi (m-39) yang bijak menyambung sepakan penjuru Amirul Syazwan Nor Azmi.

Bersambung babak kedua, Felda United tampil lebih agresif, namun terus hampa apabila percubaan Ahmad Tasnim Fitri Md Nasir (m-46) dan Haidil Zulikmal Ramli (m-68) gagal menapati sasaran.

Serangan bertali arus Felda akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-74 untuk merapatkan kedudukan 1-2 melalui sepakan lambung Muhd Fikri Abdul Rahim dari luar kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu melebarkan kelebihan dengan menambah gol ketiga melalui Amirul Syazwan pada minit ke-80 sehingga tamat perlawanan.

Pengurus Terengganu, Wan Zaukfli Wan Gati, berkatakeputusan itu masih belum selamat untuk menjamin kedudukan mereka dalam aksi timbal balik di gelanggang lawan.

Ujarnya, pemain-pemain diharapkan dapat mengekalkan momentum kemenangan dengan pasukan lawan sudah tentu akan menyerang habis-habisan untuk ke separuh akhir.

“Kami agak gugup pada babak kedua mungkin kerana sudah selesa mendahului dua gol dan diharapkan dapat memperbaiki beberapa kelemahan lagi,” kata Wan Zaukfli.

Pengendali Felda United, Azhar Abdul Rahman, pula mengakui dua gol pendahuluan tuan rumah telah menjatuhkan semangat anak-anak buahnya yang hanya beraksi baik pada 45 minit kedua.

“Saya percaya kami mampu bangkit dengan kembalinya beberapa tonggak daripada penggantungan dan kecederaan, kami cuma tidak bernasib baik hari ini.

“Walaupun bukan tugas mudah, kami belum menyerah kalah,” tambahnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video