Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: VAR, Doan pastikan Jepun ke separuh akhir

ritsu-doan.jpg
JEPUN 1 VIETNAM 0

Jepun memanfaatkan sepakan penalti yang diberikan hasil bantuan video bantuan pengadil (VAR) bagi melakar kemenangan 1-0 ke atas Vietnam untuk melangkah ke separuh akhir Piala Asia, sebentar tadi.


Pengadil, Mohammed Abdulla Hassan, pada asalnya tidak memberikan sebarang hukuman ke atas terjahan yang dilakukan oleh Bui Tien Dung ke atas Ritsu Doan. Bagaimanapun, keputusan itu berubah selepas ulang tayang VAR di Stadium Rashid Al-Maktoum, Dubai.

Doan sendiri menyempurnakan sepakan penalti itu untuk meletakkan Jepun di hadapan pada minit ke-57, sekali gus menghidupkan peluang mereka menjulang gelaran Piala Asia buat kali kelima.

Sistem VAR, yang digunakan buat kali pertama dalam kejohanan ini bermula dari peringkat suku akhir, sebelum itu menafikan jaringan Maya Yoshida dalam babak pertama apabila tandukan pertahanan Southampton itu didapati terkena tangannya sebelum bola melepasi garisan gol lawan.

Jepun turut dikecewakan oleh penjaga gol, Dang Van Lam, yang mempamerkan aksi cemerlang menampan beberapa percubaan daripada Takumi Minamino dan Takehiro Tomiyasu.

Kemenangan menerusi jaringan tunggal Doan dalam babak kedua itu membenarkan skuad bimbingan Hajime Moriyasu itu melakukan persiapan awal untuk menghadapi aksi separuh akhir berdepan China atau Iran.

Advertisement

Must Watch Video