Barisan negara terlalu terburu-buru untuk menjana gol penyamaan yang membawa kepada keputusan yang lebih parah Harimau Malaya dalam separuh masa pertama.
Bekas pengendali negara, Datuk Dollah Salleh, menyimpulkan punca skuad Malaysia ketinggalan dengan jurang sebesar 0-3 disebabkan terlalu ghairah untuk memburu gol selepas dibolosi pada minit ke-12 oleh Mahmoud Al-Mardi.
Dan minit ke-18 pula -- selepas campur tangan video bantuan pengadil -- pintu gol yang dikawal Syihan Hazmi Mohamed kembali dibolosi dengan sepakan penalti menerusi Musa Al-Taamari pula sebelum Mahmoud melengkapkan keputusan selesa buat Jordan dalam separuh masa pertama pertembungan Kumpulan E di Stadium Al Janoub itu.
"Akibat kesilapan kecil, kita terima padah.
"Bila kita kena gol pertama itu, pemain mula cuba nak dapatkan gol.
"(Ketika menyerang) pemain Jordan tampak lebih daripada pertahanan kita. Dekat situ nampak kita kelekaan dan cuai.
"Kita main dengan terburu-buru ketika bertemu pasukan berpengalaman, kita cuba tunjukkan kemampuan tapi kita tak dapat.
"Bahagian tengah sebenarnya terlalu longgar, kurang membantu pertahanan dan kesempatan itu diambil oleh Jordan, katanya di Arena801 sebentar tadi.
Dollah juga berharap lebih banyak pergerakan daripada barisan negara berbanding kekerapan menghantar bola tinggi.
"Hari ini kita nampak guna hantaran jauh.
"Tiga penyerang kita iaitu Darren Lok, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi untuk bersaing dengan pertahanan lawan agak sukar," katanya lagi.
Shaiful Shamsudin
Mon Jan 15 2024