Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Qatar kejutkan Korea Selatan untuk ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

qatar.jpg
KOREA SELATAN 0 QATAR 1

Korea Selatan dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Qatar dalam suku akhir Piala Asia di Stadium Bandar Sukan Zayed, Abu Dhabi, sebentar tadi.

Jaringan daripada Abdelaziz Hatim ketika perlawanan berbaki 12 minit sudah memadai untuk menghantar skuad bimbingan Felix Sanchez itu ke separuh akhir dan bakal bertemu sama ada pasukan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau juara bertahan, Australia.

Kekalahan itu menyaksikan Korea tewas buat kali kedua dalam 21 perlawanan Piala Asia dan pertama kali kepada Qatar, yang menduduki 40 takuk di bawah mereka dalam ranking dunia FIFA, sejak 1984.

Selepas separuh masa pertama yang hambar, Korea hampir membuka jaringan menerusi percubaan Lee Chung-yong, namun berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol, Saad Al-Sheeb.

Qatar melakar kejutan apabila mendahului perlawanan hasil percubaan jarak jauh Hatim yang menewaskan penjaga gol, Kim Seung-gyu.

Hanya dua minit kemudian, Korea meraikan jaringan penyamaan yang dihasilkan oleh Hwan Ui-jo, namun pengadil menarik balik keputusan tersebut apabila sistem video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Berikutnya, sepakan gunting Boualem Khoukhi dapat diselamatkan Kim Seung-gyu sebelum skuad bimbingan Paulo Bento itu melancarkan asakan bertalu-talu dalam mencari gol penyamaan.

Khoukhi harus mampu menghela nafas lega apabila satu percubaan lewat Korea yang terbias daripada kepalanya hanya tersasar sedikit saja daripada pintu gol Qatar sehinggalah wisel penamat diraikan dengan bersemangat oleh pemain dan penyokong negara tuan rumah Piala Dunia 2022 itu.
 

Advertisement

Must Watch Video