Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Qatar ke final buat pertama kali dalam sejarah

hasan-al-haydos.jpg
UAE 0 QATAR 4

Qatar melangkah ke perlawanan akhir Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah hasil kemenangan 4-0 ke atas tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), lantas meneruskan rekod tanpa bolosnya sepanjang kejohanan.


UAE memiliki kelebihan pemain ke-12 dalam perlawanan ini, namun permainan Qatar yang tersusun memastikan setiap peluang mereka bertukar kepada jaringan di samping ampuh ketika bertahan.

Kesilapan penjaga gol membenarkan Qatar mendahului permainan menerusi percubaan Boualem Khoukhi tetapi jaringan kedua mereka lebih mantap selepas Almoez Ali melakukan larian sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk jaringan kelapannya dalam kejohanan.

Terdesak ketika ketinggalan dua jaringan, UAE memberikan tekanan sepanjang separuh masa kedua tetapi Qatar kekal dengan barisan pertahanan yang berkualiti sebelum Hasan Al Haydos dan Hamid Ismaeil melengkapkan kemenangan untuk menempah slot final bertemu Jepun.

Qatar mendahului permainan pada minit ke-22 apabila Boualem melepaskan rembatan yang gagal ditampan dengan sempurna oleh penjaga gol UAE, Khalid Eisa Bilal.

Qatar menggandakan gol menerusi Almoez -- jaringannya pada minit ke-37 menyaksikan dia menyamai rekod jaringan terbanyak kejohanan yang dilakukan oleh legenda Iran, Ali Daei, pada edisi 1996.

Qatar akhirnya menutup peluang UAE untuk bangkit ketika perlawanan berbaki sembilan minit -- Hasan bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melemaskan penjaga gol. Jaringan tersebut mencetuskan kemarahan penyokong tuan rumah yang membaling botol serta kasut ke dalam padang.

Malang terus memihak UAE dalam masa kecederaan gara-gara Ismail Ahmed dilayangkan kad merah apabila menyiku muka Salem Al-Hajri manakala Hamid melengkapkan kemenangan Qatar 4-0 sebelum tamat permainan.

Advertisement

Must Watch Video