Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Osako cetus kebangkitan Samurai Biru

img-0912.jpg
JEPUN 3 TURKMENISTAN 2

Yuya Osako memastikan juara empat kali, Jepun, memulakan saingan Piala Asia 2019 dengan kemenangan apabila mengemudi pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Turkmenistan 3-2 di Stadium Al Nahyan, sebentar tadi.


Sebelum perlawanan, pengendali Samurai Biru, Hajime Moriyasu, berjanji anak buahnya akan menampilkan aksi terbaik tetapi Turkmenistan jelas menguasai 45 minit pertama tatkala lawan mengimpikan kemenangan pertama dalam pusingan akhir setelah kapten, Arslanmurat Amanov, meletakkan pasukannya di depan.

Bagaimanapun, Osako menyumbat dua gol selepas rehat dan Ritsu Doan menambah jaringan ketiga bagi membolehkan Moriyasu mengelak mimpi ngeri setelah melihat kekalahan mengejut yang dialami Australia di tangan Jordan.

Sepakan penalti Ahmet Atayev menjadikan aksi lebih sengit tetapi Jepun lebih unggul untuk menarik nafas lega apabila mengesahkan kemenangan sebelum perlawanan kedua bertemu Oman.

Di Al Nahyan, Doan dan Mekan Saparov mensia-siakan peluang awal menerusi tandukan sebelum Shuichi Gonda berada di luar posisi untuk membolehkan tendangan Amanov dari jarak 30 ela menjadikan kedudukan 1-0.

Gonda sekali lagi menjadi perhatian tetapi kali ini dia menafikan percubaan Ruslan Mingazof dan aksi cemerlang Osako menyaksikan kebangkitan Jepun dalam babak kedua.

Penyerang itu mengawal bola dengan kemas sebelum melepaskan rembatan rendah yang menerjah jaring untuk menyamakan kedudukan dan dia meletakkan Samurai Biru di depan selepas menyudahkan hantaran Yuto Nagatomo.

Doan melakukan pergerakan dari sebelah kiri untuk berada di posisi terbaik menjadikan kedudukan 3-1 buat Jepun dan walaupun Gonda sekali lagi melakukan kesilapan setelah menjatuhkan Altymyrat Annadurdyyev, sepakan penalti Atayev tidak dapat mengekang Samurai Biru daripada memulakan kempen kali ini dengan kemenangan.

Advertisement

Must Watch Video