Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Hatrik Lux buat Filipina pulang tangan kosong

mustafa-iusupov.jpg
KYRGYZSTAN 3 FILIPINA 1

Filipina menamatkan kempen Piala Asia 2018 dengan kekalahan 1-3 kepada Kyrgyzstan dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Al Maktoum, Dubai, sebentar tadi.


Jaringan hatrik daripada Vitalig Lux sudah cukup untuk memastikan Kyrgyzstan menjadi pasukan ketiga terbaik kumpulan itu dan masih berpeluang mara ke pusingan kedua andai menjadi antara empat pasukan di tangga ketiga terbaik daripada kesemua kumpulan.

Walaupun terperosok ke dasar Kumpulan C tanpa sebarang mata, Filipina masih boleh berbangga dengan Stephan Schrock yang menjaringkan gol pertama negara itu dalam sejarah Piala Asia.

Lux memaparkan keberkesanan penyudahnya seawal minit ke-24 selepas memanfaatkan hantaran Akhlidin Israilov.

Dia kemudian menggandakan jaringan itu dalam babak kedua dengan merembat kencang ke sudut gawang Filipina selepas menerima lorongan Bekzhan Sagynbaev di tengah-tengah kotak penalti pada minit ke-51.

Penyerang Kyrgyzstan itu terus mencuri tumpuan sebaik melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-77.

Kemasukan adik-beradik Younghusband (Phil dan James) memberikan kekuatan tambahan kepada skuad The Azkals itu dengan Javier Patino and Patrick Reichelt berpeluang merapatkan jurang mata sebelum Schrock menjaringkan gol tunggal Filipina sepanjang kejohanan itu pada minit ke-80.

Advertisement

Must Watch Video