BOLA SEPAK
Piala Asia B23: Kekalahan bakal jadi pembakar semangat bertemu Thailand -- Maloney
Jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney, tetap menghargai usaha anak buahnya ketika berdepan Korea Selatan, walaupun keputusan tidak memihak mereka.
Aksi pembukaan Piala Asia B-23 menyaksikan barisan pemain muda negara dibelasah 4-1 di Stadium Lokomotiv, Tashkent semalam.
Dibarisi pemain sama yang beraksi dalam kempen Sukan SEA Vietnam bulan lalu, skuad muda negara mempamerkan disiplin tinggi dalam menyerap asakan Korea Selatan.
Iklan
Ia memaksa lawan bergelut untuk mendapatkan jaringan pada babak pertama selain dikejutkan dengan gol kapten negara, Mukhairi Ajmal, pada babak kedua.
Perkara itu dinilai sebagai antara elemen positif daripada anak buah Maloney sekali pun dua gol lewat permainan Korea menghampakan peminat tanahair.
"Korea merupakan lawan yang sukar, juara bertahan dan kami menjangkakan cabaran daripada mereka. Saya cukup berbangga dengan usaha pasukan negara apabila berusaha untuk bangkit namun jaringan di lewat permainan memaksa kami akur dengan kekalahan," kata Maloney.
Maloney mahu anak buahnya menjadikan kekalahan kepada Korea sebagai pembakar semangat untuk bangkit untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
"Kami telah bertemu Thailand dalam banyak pertemuan sebelum ini, terdapat perubahan dalam corak permainan yang dipamerkan dan kami akan menilai sebelum merencana strategi untuk perlawanan berikutnya."
Tugas seterusnya buat skuad B23 negara ialah menentang Thailand Ahad ini, langsung di saluran Astro Arena 2.
Must-Watch Video