Pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero, tidak berasa kekok dalam membantu meningkatkan motivasi pasukan sebelum masuk ke dalam padang semasa mewakili negara di kempen Piala ASEAN Mitsubishi Eletric (AMEC) 2024.

Aguero beranggapan ianya merupakan perkara yang biasa berlaku ketika bersama dengan Sri Pahang, tetapi kali pertama untuk skuad kebangsaan perkara itu menerbitkan satu perasaan yang amat berbeza.

Jika perlu, pemain berusia 30 tahun itu tidak teragak-agak untuk sekali lagi menawarkan diri untuk membuat perkara sama sebelum aksi terakhir saingan peringkat Kumpulan A berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat ini.






"Di Sri Pahang saya sentiasa melakukan itu banyak kali, saya rasa pasukan perlukan itu dan ketika itu emosi itu datang.

"Saya meminta kepada kapten untuk melakukan (ucapan) sebelum perlawanan bermula, saya rasa dapat berikan sedikit motivasi buat mereka," katanya.

Aguero yakin tiada jalan mudah buat Singapura di SNBJ, walaupun ramai berpendapat skuad kendalian Tsutomu Ogura itu bakal turun dengan kelebihan beberapa pemain mereka yang memiliki pengalaman beraksi dalam saingan liga domestik Malaysia.





"Hari ini barisan jurulatih dan teknologi sudah mengetahui pasukan lawan, tetapi seperti saya kata jika kita beraksi sama seperti ketika berdepan Thailand kita akan menang." tambahnya.