Nasib anak buah Pau Marti Vicente itu dalam Kumpulan A berada di hujung tanduk berikutan memerlukan kemenangan ke atas Singapura pada Jumaat ini selain mengharapkan mereka tumbang kepada Thailand, esok.
Bagaimanapun, Cools yang memiliki komitmen bersama kelab yang berpangkalan di Thailand, Buriram United, tidak tersenarai untuk tugasan bersama negara ketika ini.
Dia membantu jaguh Liga Perdana Thai itu membelasah Nakhon Ratchasima 5-1 yang berlangsung serentak dengan perlawanan membabitkan skuad negara menentang Gajah Perang di Stadium Rajamangala, Sabtu lalu.
"Saya dengar pasukan bermain dengan baik, malangnya pasukan kebangsaan tewas.
"Pasukan kebangsaan hanya perlu menang ke atas Singapura. Kita harus memberikan sokongan kepada pasukan dan memerlukannya," katanya dalam temu bual singkat bersama wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, di Bangkok.
Semalam, dia yang ditemui di Litar Antarabangsa Chang meluangkan masa memenuhi undangan ke Kejuaraan Permotoran The Super Series itu.
"Mereka mempelawa saya untuk melihat pasukan dan perlumbaan ini. Sungguh menarik apa yang berlaku. Saya tinggal 5 minit dari sini jadi sudah tentulah saya akan memenuhi undangan ini.
"Setiap lelaki pastinya meminati sedikit deruman dan kereta yang laju. ini satu peluang untuk menonton perlumbaan pada hari rehat," katanya.