MALAYSIA 4 SINGAPURA 1

Harimau Malaya melunaskan janji mereka untuk mara ke separuh akhir Piala AFF apabila menundukkan Singapura 4-1, sebentar tadi.


Malaysia mengatur ancaman ke kubu pelawat dalam misi hidup mati Kumpulan B itu sebaik wisel pertama ditiupkan yang menyaksikan Faisal Halim memiliki tiga peluang awal menarik termasuk V. Ruventhiran.

Tetapi kekebalan pintu gol Singapura yang dikawal Hassan Sunny akhirnya roboh jua apabila tandukkan Darren Lok pada minit ke-35 menggamatkan Stadium Nasional, Bukit Jalil.




Penyerang Petaling Jaya City itu menyudahkan hantaran lintang daripada ketua pasukan, Safawi Rasid, untuk memberi kelegaan kepada kem negara.

Skuad Malaysia meneruskan rutin serangan ke arah pasukan kendalian Takayuki Nishigaya itu yang terkenal dengan kekentalan di bahagian pertahanan sebaik kembali dari bilik persalinan.

Tekanan yang diberikan oleh jentera serangan kemudian memainkan peranan untuk dua gol menarik daripada Stuart Wilkin pada minit ke-50 dan 54.



Pemain tengah Sabah itu melepaskan satu rembatan rendah dari luar kotak penalti sesudah merampas bola daripada kawalan Hafiz Nor.

Dia kemudian mencipta larian ke dalam kotak penalti dan melakukan pusingan 360 darjah untuk kedudukan 3-0.



Walaupun mendahului selesa, pertukaran membabitkan Lee Tuck dan Sergio Aguero memberi dimensi baru dalam corak serangan negara.

Kedua-dua pemain dan Aguero khususnya, yang seharusnya meletakkan Harimau Malaya di kedudukan lebih selesa akhirnya bergandingan untuk jaringan keempat pada masa ke-88 di sebalik Faris Ramli cuba mengurangkan defisit perlawanan, 3 minit sebelum itu.

Kemenangan ini menyaksikan barisan bimbingan Kim Pan-gon akan berdepan Thailand untuk pertemuan pertama semi-final di venue serupa, Sabtu ini sebelum bertandang ke Stadium Thammasat, Selasa depan.

Sementara itu, Vietnam bakal berdepan naib juara Kumpulan A, Indonesia, dalam satu lagi pertembungan separuh akhir selepas membelasah Myanmar 3-0, sebentar tadi.