Skip to main content

Bola Sepak

Piala AFF: Harimau Malaya sudah sedia gempur Singapura, laung Kim Pan-gon

harimau-malaya.jpg
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, percaya kematangan barisan Harimau Malaya mampu menyerap gelora ketika berdepan Singapura, malam esok. 

Pertembungan terakhir peringkat Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menjadi ujian getir memandangkan skuad Malaysia -- yang di kedudukan ketiga -- memerlukan kemenangan untuk mara ke separuh akhir. 

Begitupun, pengendali itu akan kekal dengan pendekatan agresif menyerang Harimau Malaya walaupun menyedari kekuatan Singapura dalam serangan balas sambil menegaskan anak buahnya sudah melupakan episod duka bertemu Vietnam, Khamis lalu. 

Malah, sesudah tiga kali melihat rakaman perlawanan, dia mempertahankan prestasi pemainnya di Stadium Nasional, My Dinh hinggalah detik Nguyen Tien Linh memecah kebuntuan perlawanan. 

"Sebenarnya saya sempat saksikan perlawanan di antara Singapura dan Vietnam, amat sukar untuk menilainya kerana pada pendapat saya, Vietnam tidak mempamerkan kemahuan tinggi, kalau beraksi sedemikian maka mereka tidak mampu memenangi apa-apa. 





"Singapura tampak kental bertahan, kemahuan mereka lebih tinggi daripada Vietnam maka keputusan seperti itu terhasil," katanya dalam sidang media sempena perlawanan sebenar tadi.  

Sungguhpun skuad Seberang Tambak itu hanya memerlukan seri untuk lolos, Pan-gon menjelaskan api perjuangan Harimau Malaya berkobar-kobar dan percaya anak buahnya mampu menjelmakan taktikal yang diterapkannya. 

"Esok bergantung kepada kemahuan kami sendiri untuk berjuang. 

"Dengan pendekatan yang tepat, menghormati Singapura dan sedar sepenuhnya perlawanan esok adalah amat penting maka ia akan menjadi kisah berbeza. 

"Saya percaya Harimau Malaya kita sangat matang dan profesional. Saya sudah bersama mereka empat minggu dan lihat mereka sangat matang. 

"Saya percaya mereka akan mernghormati lawan esok dan berjuang dengan pendekatan tepat untuk menawarkan persembahan jitu sambil berharap dapat mencapai keputusan yang bagus," katanya. 




Pertemuan ujian terakhir menyaksikan Malaysia kecundang 1-2 di Singapura, namun biarpun dengan pelantikan jurulatih baharu dari Jepun, Takayuki Nishigaya, Pan-gon tidak nampak sebarang perubahan terhadap corak permainan seteru itu. 

"Bagi saya di antara pertemuan Mac lalu dan kejohanan ini, tidak banyak perbezaan (daripaga segi corak permainan) mereka. 

"Mereka bermain agak negatif sementara kami dengan permainan proaktif.

"Mereka lebih gemar bertahan dan mengintai serangan balas tapi Malaysia berbeza. 

"Ini bukan perbandingan tentang tahap pasukan, sebaliknya mengenai perbezaan pendekatan kami untuk menang.

"Kami mahu proaktif, kami mahu mendominasi, bertenaga dan dinamik demi mencapai kemenangan.

"Singapura mempunyai gaya tersendiri dan kami amat menghormatinya jadi kami akan mendekatinya dengan betul," katanya.





Menurutnya lagi: "Tapi setiap perlawanan pasti berbeza dan Singapura ada kelebihan. 

"Terpulang kepada kami sendiri, tiada yang akan tolong kami. kami perlu bergantung kepada diri sendiri untuk menyudahkan tugas kami. 

"Penyokong Harimau Malaya sentiasa berikan sokongan padu tapi esok kami memerlukan suasana istimewa. Kami mahu mencipta festival dan berharap semua dapat datang berikan sokongan padu."

Advertisement

Must Watch Video