Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menganggap pemilihan pemain ke Piala AFF 2020 adalah yang terbaik di sebalik pengguguran lima pemain utama yang bebas daripada kecederaan.

Pengumuman senarai 28 pemain hari ini sempena kem latihan pusat pertama skuad kebangsaan ke Singapura mencetuskan sensasi apabila beberapa pemain yang kerap mewakili negara sebelum ini tidak berada dalam radar pengendali kebangsaan itu.

Ia membabitkan lima pemain skuad Harimau Selatan iaitu kapten; Farizal Marlias, Matthew Davies, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi dan La'Vere Corbin Ong.

"Mereka sudah lama mewakili skuad kebangsaan. Kami tahu kualiti mereka.

"Mungkin juga kerana melalui musim yang agak panjang terutama selepas kempen kelayakan Piala Asia, mereka tidak mendapat rehat atas (komitmen) Liga Juara-Juara Asia dan Piala Malaysia," katanya dalam sidang media hari ini.





Cheng Hoe turut menjelaskan mengenai pemilihan pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 34 tahun, Aidil Zafuan, yang kurang minit permainan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Kalau dilihat dalam perlawanan menentang Jordan dan Uzbeskitan lalu, dia (membuktikan) masih relevan.

"Walaupun tidak banyak sejak beraksi di Dubai, dia beraksi dan tunjukkan kepimpinan yang baik.

Kem latihan pusat skuad negara akan dijalankan secara berpingkat bermula Isnin depan tatkala pemain yang berpangkalan di luar negara akan terus diterbangkan ke Kota Singa menjelang sepak mula berdepan Kemboja, 6 Disember depan.

Sementara itu, R. Kogileswaran berkobar-kobar untuk meneruskan momentumnya bersama Petaling Jaya City.

"Bukan senang untuk terpilih antara yang terbaik di negara ini.

"Memang sukar untuk merebut tempat ke Piala AFF tapi saya berjanji akan tunjukkan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dan sedia menunjukkan kebolehan kepada barisan kejurulatihan kebangsaan," katanya yang turut terpilih di samping rakan sepasukan, Darren Lok.

Penjaga gol skuad B-22 negara, Azri Ghani, pula enggan mensia-siakan amanah yang diberikan walaupun perlu berdepan saingan dua senior, Khairul Azhan Khalid dan Khairul Fahmi Che Mat.

"Ini benar-benar rezeki buat saya. Saya tidak menjangkakannya kerana semua tahu situasi Perak.

"Saya tidak akan ambil peluang ini dengan sewenang-wenangnya. Saya harap pemain senior negara boleh beri 100 peratus kepercayaan kepada saya dan saling bekerjasama," katanya.