Terengganu FC menyimpan hajat besar dalam Piala AFC 2023 biarpun sedar perlu menghadapi ujian wakil Central Coast Mariners sambil mengesahkan Tomislav Steinbruckner akan terus menggalas tanggungjawab mengemudi pasukan.
Ketua jurulatih itu sedang bercuti bersama keluarganya di Croatia tetapi tidak dapat bersama pasukan yang bertandang ke Kuching City, Sabtu ini.
"Dia akan terus bersama pasukan," kata pengurus Terengganu, Fadhil Wahab.
Barisan kendalian Steinbruckner itu diundi dalam Kumpulan G untuk mengaturkan pertemuan dengan Bali United (Indonesia), Stallion Laguna FC (Filipina) dan kelab Australia berkenaan.
"Saya rasa satu cabaran yang sengit untuk kami hadapi pada kali ini.
"Walaupun mereka dibarisi pemain kebangsaan, tetapi saya yakin kemampuan Terengganu mampu menyaingi setiap pasukan termasuk pasukan dari Australia," katanya selepas undian Zon ASEAN di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, itu sebentar tadi.
Saingan peringkat kumpulan akan bermula hujung bulan depan dan berakhir pertengahan Februari disusuli pusingan kalah mati hingga April 2024.
"Kami masih ada empat lagi perlawanan Liga Super dan berasakan liga tahun ini satu perjalanan yang cukup jauh.
"Tetapi dengan semangat dan komitmen dalam kalangan pemain serta prestasi yang cukup baik ketika ini, ini satu momentum yang baik untuk Terengganu.
"Kami cukup yakin bahawa kali ini mampu menunjukkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dan ini merupakan peluang terbaik Terengganu," katanya.
Shaiful Shamsudin
Thu Aug 24 2023