Sabah FC memburu permulaan positif dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Piala AFC 2023 menentang pasukan dari Singapura, Hougang United, di Stadium Likas malam esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata kemenangan dalam aksi itu amat penting dan akan menjadi momentum berharga untuk The Rhinos dalam saingan Piala AFC.
Bagaimanapun, dia tidak mahu pemainnya mengambil mudah aksi berkenaan dan akan turun dengan persembahan terbaik menentang juara Piala Singapura tahun lalu itu.
"Setiap perlawanan berbeza, terutama dalam saingan AFC. Walaupun mereka (Hougang) bermain di atas padang tiruan di Singapura dan akan bermain di padang berbeza di Likas, ia tidak akan memberikan masalah kepada mereka.
"Kami tidak boleh ambil mudah dan kami tahu apa yang perlu dilakukan esok dan penting untuk kami dapatkan keputusan positif," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.
Dalam pada itu, Kim Swee juga menyasarkan untuk Sabah mara sejauh yang boleh dalam kejohanan berkenaan, seperti yang telah dilakukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur sebelum ini.
"Tetapi kami perlu fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan. Ini penting bagi memastikan kami tidak memikirkan terlampau jauh, di mana banyak lagi perlawanan yang kami perlu lalui selain Piala AFC.
"Dalam masa sama, tiada tekanan buat kami dan saya percaya pemain yang ada dalam Sabah FC mempunyuai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
"Mereka mampu mengawal tekanan dengan baik kerana pengalaman bermain di peringkat lebih tinggi. Ini satu kelebihan buat kami," katanya.
-- Sinar Harian
Sinar Harian
Wed Sep 20 2023