Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, menyifatkan pemainnya berhak mendapat pujian walaupun gagal untuk muncul juara Kumpulan G, Piala AFC.

Menurutnya, pemain TFC telah menunjukkan persembahan luar biasa apatah lagi mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan keputusan tanpa kalah.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain saya. Mereka berhak mendapat tepukan selepas enam perlawanan, TFC mencatatkan tiga kemenangan dan tiga seri.

"Namun, kami tidak bernasib baik kerana berada di kedudukan kedua kumpulan G. Saya agak risau dengan perlawanan ini, terutama selepas final (Piala Malaysia) tetapi pemain memberikan yang terbaik dan saya gembira," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

TFC menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas Bali United FC, namun kemenangan itu belum cukup untuk pasukan Pantai Timur berkenaan menjadi juara Kumpulan G.

Pasukan dari Australia, Central Coast Mariners, menjuarai kumpulan tersebut dengan kemenangan ke atas Stallions untuk mengumpul 13 mata.

TFC pula hanya dibezakan satu mata selain turut gagal menjadi pasukan naib juara terbaik untuk menempah slot ke pusingan kalah mati.

Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui kegagalan untuk memungut mata penuh ketika seri 2-2 berdepan Stallions di laman sendiri pada Oktober lalu menjadi antara punca kegagalan pasukan itu ke pusingan kalah mati.

"Kami sebenarnya telah bermula dengan baik menang ke atas Central Coast Mariners dan beberapa keputusan positif lain. Tetapi, ini lah bola sepak. Saya minta maaf kami tidak dapat mara ke pusingan seterusnya," katanya.

--Sinar Harian