Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente, berkata dia tiada masa untuk berasa tertekan menjelang tugasan pertamanya membimbing Harimau Malaya menentang Filipina dalam Kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Pau Marti mengambil alih peranan itu sejak Kim Pan-gon memilih untuk meletakkan jawatan pada pertengahan Julai lalu.
Dia yang sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan hanya memiliki waktu singkat untuk mempersiapkan pasukan dan prestasinya juga akan dipantau oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sehingga hujung tahun ini.
Ditanya mengenai tekanan yang sedang dihadapinya ketika ini, Pau Marti berkata dalam sidang media: "Sejujurnya, saya tiada banyak masa untuk memikirkan mengenai tekanan.
"Sepanjang lima hari ini, kami banyak melakukan latihan dan banyak berbincang dengan pemain mengenai perlawnan ini, bagaimana kami mahu bermain, bagaimana kami mahu menyerang dan bertahan.
"Mujurlah saya tidak memiliki banyak masa mengenai tekanan, mengenai perlawanan pertama saya.
"Pada akhirnya, apa yang saya mahukan adalah pemain tahu apa yang kami mahukan dan sebaik perlawanan bermula, ia terpulang kepada mereka. Tidak banyak yang anda boleh lakukan dari luar padang.
"Jadi, saya tidak fokus kepada tekanan saya, saya hanya menumpukan kepada perlawanan ini," katanya.
Muzaffar Musa
Tue Sep 03 2024