BOLA SEPAK
Pestabola Merdeka: India pasang hajat calar maruah Harimau Malaya di gelanggang keramat
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, melaungkan bahawa barisannya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk melayani kunjungan India menjelang sepak mula Pestabola Merdeka 2023.
Pan-gon, bagaimanapun, mengingatkan pemainnya agar berwaspada dengan tentangan yang bakal ditampilkan lawan dan tidak memandang rendah keupayaan Blue Tigers.
Beliau turut berharap anak buahnya dapat mengekalkan ketekalan prestasi sebagaimana yang diperagakan ketika perlawanan persahabatan berdepan Syria dan China bulan lalu.
Iklan
"Mereka agresif, bekerja keras dan kental.
"Dengan karakteristik seperti ini, kami haruslah ampuh untuk berdepan mereka dari minit pertama hingga akhir untuk mendapatkan keputusan positif," katanya dalam sidang media hari ini.
Sementara itu, rakan sejawatannya di kem India, Igor Stimac, menegaskan kehadiran pemainnya ke Kuala Lumpur dengan skuad terbaik yang diketuai tonggak legenda, Sunil Chetri.
Pestabola Merdeka bakal menjadi medan persiapan India untuk mengharungi kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 berdepan Kuwait dan Qatar, bulan depan.
"Objektif kami ialah tidak ditimpa kecederaan memandangkan kami ada misi yang lebih utama pada November depan.
"Kami sedar sejauh mana pentingnya kejohanan ini dan akan berikan yang terbaik untuk memenanginya.
"Kami mempunyai ada sedikit kelebihan yang bermain di laman sendiri yang membawa kejayaan kepada Malaysia yang belum kalah di tempat sendiri pada tahun ini.
"Jadi kami mahu memberi kejutan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Pan-gon mengesahkan Malaysia terpaksa lupakan khidmat tonggak naturalisasi, Paulo Josue, yang disahkan mengalami demam denggi.
Keutamaannya ketika ini adalah untuk memastikan ketua Kuala Lumpur City itu pulih seperti sedia kala, sekali gus kembali membantu skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Must-Watch Video