Ketua jurulatih Filipina, Norman Fegidero, kecewa apabila pasukannya tidak diberikan dua sepakan penalti yang sepatutnya ketika tewas 1-2 kepada skuad negara dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Skuad negara ketinggalan 0-1 menerusi percubaan Jefferson Tabinas yang terbias kaki pertahanan negara, Feroz Baharudin, sebelum menerjah gawang Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-27.

Bagaimanapun, Harimau Malaya bangkit dengan aksi lebih kemas untuk meraih kemenangan hasil jaringan Syamer Kutty Abba pada minit ke-43 dan gol penalti Safawi Rasid pada minit ke-73.

Mengakui sudah menjangkakan skuad negara akan menguasai perlawanan itu, Fegidero, bagaimanapun, kecewa apabila pasukannya dinafikan dua peluang sepakan penalti.

"Saya amat berbangga dengan pemain kami, mereka telah memberikan tentangan yang hebat sehingga wisel terakhir.

"Perkara lain di luar kawalan kami. Kami sepatutnya mendapat dua penalti dalam perlawanan ini tetapi apa yang saya boleh buat? Itu keputusan pengadil.

"Saya amat kecewa atas apa yang berlaku tetapi saya amat bangga dengan pemain saya kerana kami bermain dengan amat baik," katanya.

Skuad negara seterusnya akan bertemu Lubnan bagi penentuan gelaran hujung minggu ini manakala Filipina akan berdepan juara bertahan, Tajikistan, dalam perebutan tempat ketiga.