SERIE A
Persembahan hambar Milan dikritik
Ketua Pegawai Eksekutif AC Milan, Marco Fassone, melancarkan kritikan terhadap pasukannya selepas tewas mengejut kepada Sampdoria sambil menegaskan kelab gergasi Itali itu tidak sepatutnya tewas kepada pasukan yang lemah.
Ia merupakan hari yang harus dilupakan oleh ketua jurulatih, Vincenzo Montella dan Milan, yang gagal memberikan persembahan terbaik apabila tewas 2-0 kepada Sampdoria.
Duvan Zapata dan pemain gantian, Ricky Alvarez, menghukum Milan untuk kekalahan kedua musim ini, selepas tewas 4-1 kepada Lazio pada awal bulan ini.
Iklan
Selepas melalui perubahan drastik dengan berbelanja besar untuk mempertingkatkan mutu pasukan pada pra-musim, Milan yang membawa masuk pemain-pemain seperti Leonardo Bonucci, Lucas Biglia, Andre Silva dan Hakan Calhanoglu yang tiba ke San Siro, bagaimanapun ketinggalan enam mata di belakang juara bertahan, Juventus dan Napoli.
"Keyakinan tidak dapat ditingkatkan melalui hari demi hari tetapi menerusi keputusan," kata Fassone.
"Keyakinan seharusnya sudah hadir tetapi kami tidak dapat melihatnya di atas padang. Saya berharap dapat melihatnya dalam perlawanan akan datang.
"Saya tidak tahu untuk menilai menerusi lawan yang perlu kami tempuhi, saya tidak berasakan Samp setaraf kami. Marco Giampaolo (pengendali Sampdoria) telah melakukan tugas dengan baik.
"Saya mengucapkan tahniah kepadanya tetapi Milan adalah pasukan yang lebih baik dan memerlukan pendekatan yang berbeza.
"Ini merupakan satu pengajaran buat kami. Milan tidak seharusnya tewas kepada pasukan yang lebih lemah daripada mereka.
"Selepas kekalahan ini, Montella dan Massimiliano Mirabelli akan menilai semula kualiti pasukan ini.
"Ini bukanlah persembahan yang harus dipamerkan oleh Milan. Kami menyarung jersi yang sangat penting," katanya lagi.
Must-Watch Video