LIGA SUPER MSIA
Persahabatan Antarabangsa: Kim Pon-gon sambut baik tandangan Turkmenistan
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, menyambut baik kehadiran Turkmenistan bagi aksi persahabatan antarabangsa bulan depan.
Baginya, kehadiran pasukan bimbingan Mergen Orazow dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kali ini sudah pasti lebih mencabar kerana Turkmenistan akan membawa misi membalas dendam selepas tewas di tangan Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala Asia tahun lalu.
Tambahnya, dua perlawanan persahabatan sepanjang bulan depan juga merupakan peluang terbaik untuk skuad negara memperbaiki kedudukan ranking dan kekal dalam kelompok 25 terbaik peringkat Asia bagi mengelakkan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, yang dijangka bermula Oktober depan.
Iklan
Selain Turkmenistan, Harimau Malaya juga disahkan akan bertemu Hong Kong bagi melengkapkan dua perlawanan itu.
"Turkmenistan pasukan di ranking atas kita dan saya fikir mereka pasukan yang baik," kata Pan-gon dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.
"Saya dengar mereka akan datang ke sini untuk membalas dendam kerana mereka amat kecewa dan tidak jangka akan tewas kepada kita. Mereka mahu datang ke sini untuk membuktikan kemampuan mereka, jadi kami mengalu-alukannya.
"Kita kini berada di kedudukan ke-25 (Asia). Dulu kita berada di ranking ke-26 dan Hong Kong berada di atas kita.
"Seingat saya, ia kini dibezakan 10 mata. Jadi, bulan Mac ini adalah peluang terakhir untuk memperbaiki ranking," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam pusingan kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil pada 8 Jun lalu.
Must-Watch Video