Pemain sayap skuad negara, Faisal Halim, menegaskan bahawa dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berdepan Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Kuala Terengganu pada Rabu ini.
Tambahnya, kesemua pemain negara sedang berada dalam keadaan terbaik dan sudah tidak sabar untuk beraksi.
Bagaimanapun, penyerang Selangor itu menegaskan tiada perlawanan mudah buat Harimau Malaya di peringkat antarabangsa dan pemain negara perlu memanfaatkan perlawanan itu sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala Asia Qatar 2023 awal tahun depan.
"Semua orang dalam keadaan terbaik dan tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan pertama," katanya seperti yang dilaporkan Astro Arena.
"Saya harap semua pemain dapat memberikan yang terbaik di Terengganu.
"Bagi saya, semua perlawanan bukan mudah buat skuad kebangsaan kerana semua pasukan yang datang ada pemain berbakat dan tahap tersendiri, cuma kualiti pemain akan membezakannya.
"Saya percaya dengan pasukan yang ada sekarang, dengan taktikal jurulatih Kim (Pan-gon), kami mampu melakukan sesuatu dalam dua perlawanan ini," katanya.
Malaysia akan berdepan Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok sebelum melayani Papua New Guinea di venue sama enam hari kemudian.
Muzaffar Musa
Mon Jun 12 2023