OB VIOBA, SDARA, ANSARA BP RC, SMS OLD BOYS dan EX-EC turut mencatat kemenangan pada minggu kedua.
ASAS RC mengekalkan rekod kemenangan sempurna dalam Super Alumni Rugby 15s (SAR) 2026 selepas menewaskan SEMASHUR OB 25-14 dalam aksi tumpuan minggu kedua di EV Arena Elmina pada 31 Oktober 2026.
SEMASHUR OB membuka tirai jaringan menerusi try Muhammad Faiz Kamarul. ASAS berdepan tekanan awal apabila Adam Pearl Noorshamizan dan Arief Zakwan Zainudin masing-masing menerima kad kuning. Namun, ASAS bangkit dengan menghasilkan empat try sepanjang perlawanan. Wan Ahmad Irfan Danial menyumbang dua daripadanya sekaligus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Dalam aksi Kumpulan A, SDARA Lions mengejutkan STAROBA Rugby dengan kemenangan 17-12 hasil persembahan berpasukan yang mantap. SDARA mendahului dengan kelebihan 10 mata pada separuh masa pertama menerusi try Muhammad Alif Adam dan sepakan Muhammad Danial Haiykal, yang kemudian dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. STAROBA merapatkan jurang menerusi try Muhammad Azri Erfan, namun try Ahmed Khaleed Shuhardi pada separuh masa kedua memastikan kemenangan SDARA.
VIOBA Blues pula meneruskan rentak cemerlang dengan membelasah KRAS 57-0. VIOBA menghasilkan lapan try, termasuk tiga pada separuh masa pertama, sebelum menambah 35 mata selepas rehat. Dominasi di bahagian tengah dan barisan backline, yang diketuai Mohammad Fahad Rashid, membantu VIOBA menguasai perlawanan. Mohammad Fahad turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, ANSARA BP RC meraih kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan KUSESS Barbarians 33-7. ANSARA mendahului dengan tiga try pada separuh masa pertama, dengan dua daripadanya dihasilkan Noerman Radzikin, yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. KUSESS menerima tamparan apabila Nur Hakimi Abal menjadi pemain kedua pasukan itu yang dilayangkan kad merah musim ini. ANSARA menambah dua try selepas rehat, manakala Ryan Haziq Norhairi menghasilkan try saguhati buat KUSESS.
SMS Old Boys (SMSOB) mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan mata bonus selepas menewaskan SASEROBA 26-5. Pemain Terbaik Perlawanan Fawwaz Affendy Fakhri menghasilkan satu try pada setiap separuh masa, manakala Muhammad Faris Haikal dan Amir Ridzuan Rafiee turut menyumbang try. SMSOB menamatkan perlawanan dengan 14 pemain selepas Zariff Iqmal Shaparin menerima kad kuning kedua.
Dalam Kumpulan C, EX-EC membuka akaun kemenangan dengan menewaskan MOZAC Highlanders 15-0. Muhammad Azman Ikhwan menyumbang 10 mata pada separuh masa pertama, sebelum try Muhammad Hafizuddin Halim pada separuh masa kedua melengkapkan kemenangan EX-EC.