Setelah berjaya mengikat Syria dengan keputusan 2-2, sudah tentu ia telah membawa satu harapan baru peminat-peminat bola sepak Malaysia sebelum skuad Harimau Malaya itu bertemu China.

Semua sudah mengetahui bahawa Syria merupakan sebuah pasukan yang baik daripada segi ranking dunia dan dengan keputusan itu, ia pasti akan menambah keyakinan pemain-pemain Malaysia, terutama anak-anak tempatan seperti Faisal Halim, Akhyar Rahsid, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Shahrul Nazeem Zaulpakar dan Syihan Hazmi Mohamed untuk berhadapan China nanti.

Namun, yang lebih menarik perhatian penulis sebenarnya tentang peranan posisi pemain yang dimainkan setiap individu yang diturunkan mengikut formasi 3-4-3 yang diguna pakai oleh Kim Pan Gon, terutama di bahagian ‘midfield’ dan ‘forward’.

Jika dilihat peranan yang dimainkan Brendan Gan, Endrick dos Santos, Stuart Wilkin dan Paulo Jouse, ia amat berbeza kerana posisi ‘midfield’ dan ‘forward’ ada pelbagai kategori, contoh seperti Brendan Gan dan Junior Eldstal bermain sebagai ‘defensive midfield’ yang mana tugas utama mereka untuk menghalang bola daripada melepasi benteng pertahanan dan memenangi bola selain memulakan perancangan serangan.

Bagi Stuart Wilkin dan Endrick pula, mereka memainkan peranan sebagai ‘attacking midfield’ yang memainkan peranan dari ‘box to box’ selain merancang serangan mengunakan kemahiran dan kekuatan yang ada pada diri mereka seperti kepantasan serta kreativiti dalam membuat keputusan.

Itu yang boleh kita lihat daripada gerakkan jaringan pertama yang mana Endrick berjaya melakukan hantaran jauh ke hadapan yang tepat kepada Akhyar Rahsid. Begitu juga dengan Stuart yang berjaya melakukan gerakkan dan rembatan di dalam kawasan penalti Syria.

Bagi Paulo Jouse pula, kali ini beliau diberikan peranan sebagai ‘false nine striker’ yang memainkan peranan seperti posisi nombor 9 dan nombor 10. Sebab itu juga kita boleh melihat kadang-kadang beliau keluar dari kawasan seorang penyerang untuk mencari bola dan membuat hantaran umpanan.

Lain pula dengan Darren Lok, yang memainkan peranan sebagai ‘The Poacher’ iaitu penyerang yang sentiasa berada didalam kawasan penalti untuk menjaringkan gol dan itu yang berjaya dilakukan Darren semasa menjaringkan gol penyamaan.

Daripada faktor peranan individu inilah yang boleh membuatkan Kim Pan Gon merancang strategi untuk Harimau Malaya.