LIGA SUPER MSIA
Perak FC punya sebab rehatkan pemain import
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, mengakui keampuhan Johor Darul Ta'zim (JDT) tetapi ia bukan bermaksud mereka tidak memberi tentangan ketika rebah 0-5 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan malam tadi.
Sang Seladang dalam misi untuk menjarakkan diri dengan zon penyingkiran Liga Super dengan kini menduduki tangga ke-11 menuju enam perlawanan terakhir.
Lantaran, Yusri beranggapan ia jalan langkah terbaik demi menjayakan misi utama mereka musim ini.
Iklan
"Kami memang menjangkakan keputusan yang amat sukar apabila bertandang ke sini.
"Cuma keperluan lebih mendesak untuk perlawanan yang berikutnya dan juga kita sedia maklum di atas kertas, JDT hanya membenarkan dua gol di gelanggang keramat ini jadi sudah pasti ia menjadi igauan mana-mana pasukan.
"Pemain saya yang rata-rata masih muda dan agak gugup telah berikan dua gol mudah pada awal perlawanan walaupun saya mengakui gol pertama itu mungkin adalah gol liga terbaik.
"Kami cuba tukar sedikit permainan dalam separuh masa kedua tetapi itu sahajalah keupayaan kami," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Menurutnya lagi: "Kami tanpa Seo (Seonung) akibat pembedahan kecil di hidung, Luka (Milunovic) mengalami kecederaan di kedua-dua belah kaki.
"Saya terpaksa merehatkan Luciano (Guaycochea) kerana saya perlu berlaku jujur bahawa tahap JDT sudah jauh meninggalkan pasukan lain dan begitu juga kami yang berada di tangga ke-11.
"Sudah pasti kami akan terus berkejar sepanjang 90 minit perlawanan, pemain telah cuba berikan tentangan. Saya tahu ramai yang tidak menyukainya tetapi kami hanya melakukan yang termampu."
Must-Watch Video