Skip to main content

Bola Sepak

Perak atur siri perlawanan uji pemain

mehmet-durakovic_1.jpg
Perak akan menguji perkembangan pemain dalam beberapa perlawanan persahabatan bermula dengan aksi menentang PDRM di Stadium Perak, malam esok.

Ketua jurulatih skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, berkata pasukan itu juga akan bertemu Kedah dalam kejohanan amal tahunan yang baru diperkenalkan tahun ini di Stadium Darulaman, Alor Setar, Ahad depan.

"Perlawanan ini diadakan secara bergilir-gilir setiap tahun. 

"Kali ini di Alor Setar, tahun depan pula di Ipoh," katanya.

Menurut Durakovic, selepas pertemuan dengan Kedah, dia bercadang mengatur satu lagi perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Larkin pada 3 Februari depan.

"Kami sudah berlatih sejak 5 Disember lalu dan sudah tiba masanya untuk menguji pemain.

"Saya sudah mendapatkan kembali kesemua pemain, termasuk pemain kebangsaan yang telah kembali daripada bercuti," katanya.

Pemain terbabit ialah Shahrul Saad, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan dan Kenny Pallraj.

"Mereka diberi cuti tambahan selepas tugasan bersama pasukan negara selesai," tambahnya.

Durakovic, bagaimanapun, berkata Nazirul Naim terpaksa berehat kerana mengalami kecederaan pangkal paha yang dialaminya sewaktu perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, Disember lalu.

Menurut Durakovic, bek kanan itu dijangka berehat selama sebulan dan sempat pulih sebelum Liga Malaysia (Liga-M) 2019 bermula.

Advertisement

Must Watch Video